Pengalaman jadi sandaran Hamidin ke Sukan SEA - Utusan Malaysia

Pengalaman jadi sandaran Hamidin ke Sukan SEA

HAMIDIN Mohd. Amin (kanan) menerima dokumen pelantikan sebagai ketua kontinjen negara ke Sukan SEA Vietnam 2021 daripada Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia Norhashimi Hussain di Wisma FAM hari ini. -
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memiliki pengalaman berurusan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan dimanfaatkan sebaiknya oleh Datuk Hamidin Mohd. Amin bagi membantu kontinjen negara menghadapi segala kemungkinan di Sukan SEA 2021 Hanoi.

Hamidin yang diumumkan selaku Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan SEA 2021 kelmarin mengakui, cabaran ke temasya kali ini sangat luar biasa susulan pandemik Covid-19 selain perlu mengikuti norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

“Kami tidak pasti bila Covid-19 akan hilang dalam tempoh beberapa tahun ini. Saya jangkakan semua atlet dan pegawai akan menerima vaksin sebelum berlepas ke Hanoi secara berperingkat.

“Dengan itu, ia dapat meningkatkan tahap keyakinan mereka. Jadi banyak masalah dapat diselesaikan,” katanya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada majlis tersebut yang berlangsung di Wisma FAM, Pengurus Besar Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Norhashimi Hussain menyerahkan surat pelantikan CDM kepada Hamidin.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria kelmarin mengumumkan pelantikan Hamidin sebagai CDM ke Sukan SEA yang akan bermula November depan, sekali gus muncul wakil pertama daripada sukan bola sepak memikul tugas tersebut sejak temasya itu diperkenalkan pada 1959.

Sementara itu, Hamidin turut menegaskan, FAM tetap akan menurunkan barisan pemain bawah 19 tahun (B-19) negara ke Sukan SEA kali ini sebagai persiapan untuk menghadapi temasya itu pada 2023 selain layak ke Sukan Olimpik 2024 Paris.

“Sasaran utama bagi skuad B-19 masih kekal iaitu memberikan pendedahan di Sukan SEA kali ini dalam usaha meraih emas pada edisi 2023 dan layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

“Sebanyak 30 pemain sedang beraksi bersama skuad Projek FAM-MSN (di Liga Perdana), sementara lebih kurang 19 pemain beraksi bersama pasukan lain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya