PETALING JAYA: Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dipaksa berhempas pulas dalam pertarungan tiga set sebelum meraih tiket separuh akhir kejohanan badminton All England pagi tadi.
Kemenangan 17-21, 21-18, 22-20 ke atas Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis dalam pertarungan 66 minit membolehkan Peng Soon-Liu Ying muncul wakil kedua Malaysia layak ke separuh akhir selepas Lee Zii Jia.
Naib juara beregu campuran Sukan Olimpik Rio 2016 itu kini akan berdepan pasangan Jepun, Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo pagi nanti bagi memburu tiket final.
“Ini adalah kali keempat kami bertemu mereka (Gicquel-Delphine). Permainan mereka semakin baik dan ia perlawanan yang sukar.
“Apa pun, kami teruja mara ke separuh akhir dan harap mampu mempamerkan prestasi terbaik,” kata Liu Ying, yang muncul nak juara All England 2017 bersama Peng Soon
Rentak cemerlang beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah bagaimanapun terhenti selepas tumpas kepada pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida 12-21, 22-20, 16-21.
Satu lagi beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 17-21, 9-21.