Penalti selamatkan JDT - Utusan Malaysia

Penalti selamatkan JDT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sepakan penalti Leandro Sebastian Velasquez pada waktu kecederaan menyelamatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada menerima kekalahan kepada Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak malam ini.

Ketika Harimau Selatan sudah di ambang kekalahan selepas ketinggalan 1-2, mereka dihadiahkan sepakan penalti selepas Rofiuddin Rodin dipersalahkan kerana mengasari Aidil Zafuan Abd. Radzak dalam kotak penalti.

Velasquez yang mengambil sepakan itu tidak memberi sebarang peluang kepada penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy untuk membolehkan JDT pulang bersama satu mata.

Ini kali kedua berturut-turut juara bertahan itu keciciran mata selepas diikat 1-1 oleh Selangor, Rabu lalu.

JDT terselamat daripada mengalami kekalahan pertama musim ini hasil sepakan penalti.

Perak yang tewas dalam dua perlawanan terakhir menunjukkan kesungguhan untuk bangkit sejak awal permainan dengan aksi penuh bersemangat.

Pujian harus diberikan kepada Shahrul Mohd. Saad dan rakan sepasukan terutama penjaga gol, Hafizul Hakim yang menjadi penghalang utama Harimau Selatan itu.

Perak berjaya menyaingi JDT dan tidak memberi peluang kepada pelawat menembusi benteng mereka.

Walaupun anak buah Benjamin Mora menyerang bertubi-tubi tetapi mereka mendapati benteng degil pasukan tuan rumah terlalu liat.

Babak kedua menyaksikan Perak lemas dalam asakan pelawat yang menyerang dari setiap sudut dalam usaha mencari gol.

Kemasukan Mahmadou Sumareh menambah sengat serangan pasukan pelawat.

Untuk tempoh 13 minit perlawanan, JDT melakukan asakan berterusan yang menyaksikan penjaga gol Bos Gaurus, Hafizul Hakim menyelamat tiga percubaan pelawat.

Bertentangan dengan arus perlawanan, pasukan tuan rumah sebaliknya yang mengejutkan pelawat apabila De Paula merembat kencang bola yang melepasi Farizal Marlis sebaik saja pemain itu memasuki kotak penalti.

Akhiar Rashid merapatkan jurang gol untuk JDT apabila Hafizul Hakim gagal menangkap kemas rembatan pemain itu pada minit ke-76.

JDT meneruskan asakan dan dengan pengalaman serta kualiti pemain dimilikinya, usaha mereka bejaya menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan menerusi penalti Velasquez. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya