NYON: Pertembungan akhir Liga Juara-Juara musim lalu bakal disajikan semula apabila Bayern Munich bakal berdepan Paris Saint-Germain (PSG) pada suku akhir selepas undian kejohanan berprestij Eropah itu dilakukan sebentar tadi.
Sudah pasti PSG tidak mahu melepaskan peluang untuk melangkah lebih jauh selepas mengenepikan Barcelona di peringkat 16 akhir namun juara bertahan, Bayern turut berada terbaik ketika ini.
Tahun lalu, Bayern mengecewakan PSG 1-0 dalam perlawanan akhir untuk merangkul kejuaraan keenam.
Selain itu, pertemuan finalis 2018 turut mencuri tumpuan melibatkan Real Madrid menentang Liverpool.
Biarpun tidak konsisten dalam saingan Liga Perdana Inggeris, namun di pentas Eropah, Reds nyata memperagakan aksi luar biasa dan bakal memberi ancaman kepada skuad kendalian Zinedine Zidane.
Real merangkul kejuaraan Eropah ke-13 selepas menumpaskan Liverpool 3-1 dalam final di Ukraine.
Lebih menarik, tiga wakil England berjaya mengelak pertembungan sesama sendiri di suku akhir, di mana Chelsea bertemu FC Porto manakala Manchester City menentang Borussia Dortmund.
Jika melihat daripada undian ini, tidak mustahil salah satu wakil Liga Perdana berpeluang untuk menempatkan diri di kelompok empat terbaik.
Saingan suku akhir Liga Juara-Juara akan berlangsung secara timbal balik pada 7 dan 14 April. – AGENSI