AMSTERDAM: Beraksi di depan 5,000 penonton di Amsterdam Arena, Belanda yang terdesak untuk bangkit daripada kekalahan 2-4 kepada Turki berjaya mencari kemenangan yang amat diperlukan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022.
Steven Berghuis meledak gol pertamanya buat skuad Oranje menerusi rembatan cantik dari jarak 20 ela, sebelum Luuk de Jong menanduk gol kedua untuk membantu Belanda menewaskan Latvia 2-0 hari ini.
Bagaimanapun Turki kekal menerajui Kumpulan G selepas mencatat kemenangan kedua dengan membenam Norway, yang diterajui Erling Haaland 3-0 di Malaga, Sepanyol.
Montenegro turut mengumpul enam mata daripada dua perlawanan selepas menewaskan Gibraltar 4-1 dan sebelum itu menundukkan Latvia.
“Kami sedar perbezaan gol amat penting dalam aksi kelayakan dan bekerja keras untuk mencari gol sebanyak mungkin.
“Kami sepatutnya boleh menang dengan sekurang-kurangnnya lima gol,” kata jurulatih Belanda, Frank de Boer. – AGENSI