TBILISI, Georgia: Sepanyol berjaya mengelak daripada dikejutkan Georgia selepas jaringan Dani Olmo pada waktu kecederaan membantu mereka mencatat kemenangan 2-1 pagi tadi.
Skuad La Roja yang diikat 1-1 oleh Greece dalam aksi pembukaan Kumpulan B, kelayakan Piala Dunia 2022 Khamis lalu ketinggalan 0-1 di minit ke-43 menerusi jaringan Khvicha Kvaratskhelia.
Bagaimanapun bintang Manchester City, Ferran Torres menyamakan kedudukan pada minit ke-56 untuk gol kelimanya dalam enam penampilan.
Kerja keras Sepanyol pada babak kedua membuahkan hasil di masa kecederaan apabila Olmo meledak gol dari jarak 25 meter menuju ke penjuru gawang lawan.
“Ini antara perlawanan yang menyaksikan saya amat bergelut di hujung permainan dan ia memang berbaloi.
“Saya sanggup menderita jika pada akhirnya kami menang tetapi kami dapat melihat betapa sukar kempen kelayakan ini,” kata pengendali Sepanyol, Luis Enrique. – AGENSI