LONDON: Kai Havertz akhirnya menampilkan permainan terbaik untuk memastikan Chelsea berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris dengan menumpaskan Everton 2-0 hari ini.
Bintang tengah Jerman itu melalui musim sulung mengecewakan ketika tiba dari Bayer Leverkusen dengan perpindahan bernilai 70 juta pound (RM397.39 juta) tahun lalu.
Bagaimanapun dia berkembang di bawah pengendali baharu, Thomas Tuchel.
Percubaan Havertz terkena pertahanan lawan, Ben Godfrey untuk gol pembukaan Chelsea pada babak pertama.
Pemain berusia 21 tahun itu tidak meledak jaringan sejak Oktober tapi Tuchel tetap memberi kepercayaan kepadanya.
“Sukar untuk berkata (apakah ia permainan terbaik bersama Chelsea) tapi beberapa bulan pertama tempoh sukar buat saya.
“Saya harap akan mendapat lebih keyakinan dan terus beraksi baik seperti ini.
“Sudah tentu ia tidak mudah ketika datang ke sini, semua baharu. Saya sudah berada di sini tujuh bulan, masa untuk memberikan aksi terbaik.
“Saya tahu diri saya dan saya tahu ramai meragui saya. Saya hanya perlu terus bekerja keras, membantu pasukan dalam setiap sesi latihan serta perlawanan,” kata Havertz.
Gerakan bijak Havertz juga membawa kepada sepakan penalti pada babak kedua yang disempurnakan Jorginho.
The Blues menghuni tangga keempat dengan 50 mata, tiga mata di belakang pasukan ketiga, Leicester City. – AGENSI