PETALING JAYA: Beraksi dalam dua perlawanan sehari sebelum aksi final tidak menghalang tiga wakil negara untuk merangkul kejuaraan badminton Terbuka Poland hari ini.
Dalam aksi di Hala Widowiskowo-Sportowa, perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencipta kejutan menewaskan pilihan kedua dari Sepanyol, Pablo Abian 21-19, 21-11 untuk merangkul kejuaraan dalam kejohanan bertaraf Cabaran Antarabangsa itu.
Turut meraih kemenangan beregu lelaki, Man Wei Chong-Kai Wun Tee yang menewaskan rakan senegara, Yee Jun Chang-Chia Weijie 21-17, 20-22, 21-19 dalam tempoh 49 minit.
Selain itu beregu campuran, Choong Hon Jian-Toh Ee Wei meraih kemenangan dengan menewaskan pasangan Switzerland, Nicolas A Mueller-Ronja Stern 21-16, 21-12 dalam tempoh 28 minit.
Ee Wei yang sebelum ini beraksi dalam beregu wanita berkata, kejayaan itu sangat bermakna buat dirinya kerana ia adalah yang pertama sejak dia menyertai acara beregu campuran.
“Semalam memang saya sangat teruja kerana beraksi dalam dua perlawanan (suku akhir dan separuh akhir), tidak penat sangat kerana kami diberi masa rehat yang cukup.
“Tiada masalah untuk kami beraksi hari ini kerana waktu rehat mencukupi sebelum aksi final. Saya harap selepas ini akan ada lebih banyak kejayaan walau pun belum tahu kejohanan apa yang akan kami sertai selepas ini,” katanya.