LONDON: Liverpool mengalami kekalahan keenam berturut-turut di Anfield sebentar tadi ketika Fulham menghidupkan peluang untuk keluar dari zon penyingkiran selepas melakar kemenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan.
Jaringan Mario Lemina di hujung babak pertama sudah memadai untuk menghukum Liverpool 1-0, sekali gus menjadikan nasib mereka daripada ‘sakit’ kepada ‘parah’.
Jurgen Klopp melakukan tujuh pertukaran daripada pasukan yang kalah 0-1 kepada Chelsea, Jumaat lalu dengan menggandingkan Mohamed Salah bersama Diogo Jota serta Xherdan Shaqiri.
Begitupun perubahan taktikal yang dilakukan masih gagal merubah nasib malang Reds.
Kekalahan terbaru menyebabkan peluang juara bertahan itu untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik semakin sukar.
Biarpun berusaha keras untuk mencari gol penyamaan pada babak kedua dengan memasukkan Sadio Mane, Fulham berjaya bertahan dengan baik.
Fulham masih kekal di tangga ketiga tercorot, namun berkongsi 26 mata bersama pasukan tangga ke-17, Brighton.