PETALING JAYA: Turun dengan status pilihan kedua, Lee Zii Jia bagaimanapun gagal menampilkan aksi diharapkan apabila tersingkir pada separuh akhir badminton Terbuka Switzerland di Basel, sebentar tadi.
Pemain No. 11 dunia itu tumpas 18-21, 10-21 kepada lawan yang memiliki ranking lebih rendah, Kunlavut Vitidsarn dari Thailand yang berkedudukan ke-25 dunia.
Ini kekalahan pertama Zii Jia di tangan Kunlavut selepas menang dua pertemuan sebelum ini.
Terdahulu, beregu campuran profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal melangkah ke final kejohanan badminton Terbuka Switzerland selepas terkandas di separuh akhir sebentar tadi.
Dalam aksi di Basel itu, pasangan tersebut tumpas 19-21, 10-21 kepada beregu No. 11 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Kekalahan itu menyaksikan Kian Meng-Pei Jing tumpas buat kali kedua berturut-turut kepada pasangan Perancis tersebut selepas kali pertama tewas di Terbuka Thailand bulan lalu.
Kejayaan mara ke separuh akhir bagaimanapun membantu Kian Meng-Pei Jing memperbaiki ranking dunia, selain membuka laluan untuk mereka meraih mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.