PETALING JAYA: Selepas menjadi juara Liga Sepak Takraw (STL), Kuala Lumpur Thunder kini menjadi calon utama untuk merangkul kejuaraan berganda apabila bakal membuat perhitungan di final Piala Juara-Juara menentang Penang Black Panthers, malam ini.
Aksi yang berlangsung di Iskandar Puteri itu menyaksikan, skuad dari ibu kota itu menepati ramalan selepas berjaya melangkah ke aksi final dengan menundukkan ATM Guardians dalam perlawanan tiga set.
Gandingan Syahir Rosdi (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam) pada awalnya tewas mudah 17-21 pada set pertama namun kembali bangkit untuk mengesahkan aksi final menerusi kemenangan 21-19, 21-14.
Terdahulu, Black Panthers melakukan kejutan apabila menumbangkan pasukan pilihan, Johor Tigris, biarpun pada awalnya ketinggalan satu set.
Tigris yang dibarisi Faisal Fuad (tekong), Muqlis Borhan (pengumpan) dan Noraizat Nordin (perejam) mengungguli pertemuan sengit dalam set pertama dengan kemenangan 25-23.
Bagaimanapun, trio Black Panthers, Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Shahalril Aiman Halim (pengumpan) dan Zulhusni Basri (perejam), ternyata lebih bernasib baik dalam set kedua untuk memenanginya 23-21, 21-13.
Sementara itu, Zarif Marican percaya, pertemuan dengan KL Thunder sudah pasti akan menjadi perlawanan yang cukup mencabar kerana kedua-dua pasukan mahukan kejuaraan bagi musim ini.
Katanya, sebagai regu muda dalam saingan itu, Penang Black Panthers sudah pasti akan memberikan cabaran kepada juara STL itu.
“Memang kami sedar, KL adalah pasukan yang kuat tetapi kami juga ada kekuatan tersendiri untuk menjadi pencabar kejuaraan.
“Kami akan menikmati perlawanan final ini dan pada masa sama mencari peluang untuk mencari kemenangan,” katanya.