PETALING JAYA: Nasib bintang tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa sama ada bakal dihukum atau terlepas hukuman ekoran kekasaran yang dilakukan terhadap pengadil akan diketahui Khamis ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, apa pun keputusan yang bakal diambil Jawatankuasa Tatatertib FAM tidak dicampuri oleh mana-mana pihak, sebaliknya mereka bertindak mengikut peraturan yang ada.
Katanya, peminat tidak perlu bimbang kerana jawatankuasa tersebut dibarisi mereka yang berpengalaman dan profesional, yang dipimpin pengerusinya, Datuk Baljit Singh Sidhu.
“Tidak perlu risau, saya yakin dengan kepimpinan Datul Baljit dan barisan jawatankuasa beliau kerana semua individu ini berwibawa. Keputusan dibuat secara adil,” katanya dalam majlis pelancaran Liga SupaRimau hari ini.
Keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM yang sebelum ini hanya memberi amaran keras kepada penyerang Kelantan FC, Jack Hindle kerana menolak pengadil hingga terjatuh dalam aksi Liga Perdana, 6 Mac lalu menerima pelbagai kecaman.
Jawatankuasa tersebut juga sekadar memberi amaran kepada pemain import Melaka United, Alex Dos Santos Goncalves (Melaka United) kerana membaling bola ke arah pengadil, sedangkan dalam masa sama menggantung Petaling Jaya City (PJ City), Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dua perlawanan kerana ‘berlakon’ dikasari pemain lawan.