Kem Harimau Malaya tamat lebih awal - Utusan Malaysia

Kem Harimau Malaya tamat lebih awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas setahun tidak berlatih bersama, kem latihan skuad bola sepak kebangsaan yang sepatutnya diadakan selama sembilan hari bermula 22 Mac lalu bagaimanapun ditamatkan dua hari lebih awal.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada jadual Liga Malaysia (Liga M) yang amat padat.

“Selepas berbincang dengan barisan kejurulatihan, kita telah membuat keputusan untuk memendekkan tempoh kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari di Johor Bahru ini kepada tujuh hari iaitu berakhir pada hari ini.

“Saya gembira melihat reaksi positif yang ditunjukkan para pemain dalam tempoh seminggu ini selepas setahun lebih kita tidak berkumpul bersama, selain komitmen tinggi yang ditunjukkan mereka biarpun telah mengharungi jadual padat lima perlawanan Liga Super 2021 dalam tempoh dua minggu sebelum melapor diri.

“Disebabkan jadual perlawanan liga yang seterusnya agak dekat dan mengambil kira tempoh rehat pemain-pemain selepas kem latihan pusat ini, saya memberi ruang kepada pemain dan kelab untuk melakukan persiapan liga dengan lebih awal.

“Di samping itu juga, ia juga memandangkan kem latihan pusat ini tidak melibatkan perlawanan antarabangsa.

“Walaupun kem latihan pusat kali ini dipendekkan, ia tetap mencapai objektifnya iaitu saya dapat lihat para pemain masih berjaya mengekalkan corak permainan kita terutama dari segi taktikal yang mana mereka memahami cara pasukan kita bermain. Saya cukup berpuas hati.

“Saya masih dapat lihat banyak perkara positif dalam pasukan terutama pemain-pemain baharu yang cepat menyesuaikan diri serta bekerjasama sebagai satu pasukan. Persefahaman dan suasana sepanjang kem latihan pusat kali ini pun cukup baik,” kata Cheng Hoe.

Menurut Cheng Hoe, beliau berharap apabila pasukan berkumpul semula pada Mei nanti, pemain dapat datang dengan keadaan yang cukup bersedia dan bebas daripada kecederaan bagi memberi fokus kepada baki tiga perlawanan Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand dalam baki kelayakan yang diadakan secara berpusat di UAE pada Jun nanti.

“Diharap juga dengan pelepasan awal ini, pemain dapat rehat secukupnya dan bersedia untuk kembali menyambung aksi Liga Super 2021 bersama kelab masing-masing bermula Jumaat dan Sabtu ini (2 dan 3 April 2021).

“Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya, terima kasih diucapkan kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihan mereka sepanjang tempoh seminggu kami menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru ini.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN