KOTA BHARU: Kelantan United (KUFC) mahu melupakan kekalahan minggu lalu dan bangkit untuk melayan kunjungan PDRM FC di Stadium Sultan Muhammad IV, petang ini (pukul 4.45).
Penolong Pengurus Kelantan United, Nik Khuzaimi Nudin berkata, ‘kebangkitan’ itu tampak mampu direalisasikan selepas The Green Deers kembali mendapat semula sentuhan beberapa pemain yang tersisih akibat kecederaan pada aksi pembukaan.
“Perkembangan pemain terlibat dilihat cukup positif dan saya serahkan kepada ketua jurulatih Akira Higashiyama untuk membuat penilaian.
“Insya-Allah semua pemain dijangka sudah bersedia untuk kembali beraksi,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Nik Khuzaimi memberitahu, walaupun tumbang 0-2 kepada Sarawak United minggu lalu dia tetap optimis barisan pemain Kelantan United akan tampil dengan aksi lebih kemas.
Katanya, moral pemain KUFC kini berada pada tahap terbaik dan mereka dilihat sudah bersedia untuk menebus kekecewan.
“Saya harap pemain dapat memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri.
“Kita tidak boleh keciciran mata, kerana ia boleh mengugat semangat pasukan untuk saingan akan datang,” ujarnya.
Nik Khuzaimi tanpa berselindung mengakui masih banyak kelemahan yang perlu mereka baiki namun dia yakin jurulatih sudah menyediakan ramuan terbaik untuk berdepan Sang Saka Biru.