Kelantan United, JDT II buntu di Kota Bharu - Utusan Malaysia

Kelantan United, JDT II buntu di Kota Bharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Hasrat Kelantan United untuk memburu kemenangan hatrik tidak kesampaian apabila diikat tanpa jaringan oleh Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV hari ini.

Selepas mengalahkan PDRM 2-0 dan Perak II 2-1 dalam dua perlawanan terakhir, skuad The Green Deers berharap kelebihan beraksi di tempat sendiri mampu membawa tuah buat mereka.

Anak-anak buah  Akira Higashiyama bermula garang menerusi rembatan kencang Mohamad Fazrul Amir Zaman, namun berjaya ditepis penjaga gawang pelawat, Muhammad Haziq Nadzli seawal minit kelima.

Minit ke-11, JDT II terlepas peluang untuk memecahkan kebuntuan jaringan apabila Shuhei Fukai sempat menguis bola rembatan penyerang pelawat diatas jaringan gol meskipun Mohamad Fikri Che Soh sudahpun ‘kaku’ ketika itu.

Aksi berbalas serangan antara kedua-dua pasukan terus rancak berlangsung. Peluang terbaik Kelantan United mendapatkan jaringan hadir pada minit ke-28, namun sepakan Muhammad Juzaerul Jasmi lemah.

Tiga minit berselang, Luis Cabrera melepaskan peluang terbaik JDT II untuk mendapatkan jaringan apabila sepakan lemahnya dalam kotak penalti Kelantan United terus ke dakapan Muhammad Fikri.

Menuju minit-minit akhir babak pertama, kapten Kelantan United Mohd. Badhri Radzi nyata kecewa apabila rembatan derasnya berjaya didakap kemas oleh Muhammad Haziq meskipun ia dilepaskan dalam kawasan kotak penalti JDT II.

Bersambung babak kedua, JDT II tampil dengan beberapa percubaan bahaya ke kubu tuan rumah namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah.

Bagaimanapun, Kelantan United cuba bangkit menerusi percubaan Mohamad Fazrul Amir tapi sekadar melewati palang gol pelawat pada minit ke-67.

Kedua-dua pasukan selepas itu, terus berusaha memecahkan kebuntuan jaringan namun dihampakan oleh ketumpulan jentera serangan apabila setiap peluang terhidang gagal disudahkan dengan baik. Keputusan seri tanpa jaringan kekal hingga tamat perlawanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya