KUALA TERENGGANU: Penjaga gol, Faridzuean Kamaruddin muncul wira Kelantan selepas seri 0-0 dengan Terengganu FC II di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.
Penjaga gol berusia 26 tahun itu cemerlang menafikan serangan bertali-arus tuan rumah sekali gus menyaksikan satu mata berjaya dibawa pulang ke Kota Bharu.
Awal permainan memihak Terengganu FC II menerusi tandukan pertahanan tengah, Masaki Watanabe yang tersasar ke sebelah tepi pada minit ke-12 dan selang tiga minit, Syafik Ismail pula berjaya memperdaya Faridzuean, namun tindakan penyudahnya tidak sempurna untuk menemui sasaran.
Kelantan memperkemaskan rentak dan dihidangkan peluang pada minit ke-18, bagaimanapun sepakan import Indonesia, Natanael Ringgo mudah dibaca Mohd. Suhaimi Husin.
Babak kedua dimulakan tuan rumah secara agresif bermula dengan tandukan terbang Mohd. Ramzi Suffian yang menggegarkan palang, empat minit selepas rehat.
Ketangkasan Faridzuean kian terserlah apabila menafikan rembatan Syafik yang disusuli tindakan susulan Nur Shakir Engku Yacob pada minit ke-55.
Memasuki minit ke-68, giliran penyerang Terengganu FC II, Izzan Syahmi Mustapa dikecewakan penjaga gol kelahiran Kota Bharu itu melalui gerakan dalam kotak penalti, bahkan
Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali turut berdepan nasib sama pada minit ke-83 sekali gus mengekalkan kedudukan 0-0 sehingga wisel penamat.