LIVERPOOL: Jurgen Klopp mengakui kekalahan 0-1 kepada Chelsea di Anfield hari ini satu tamparan hebat buat Liverpool yang kini tewas lima kali berturut-turut di tempat sendiri buat pertama kali dalam sejarah kelab.
Jaringan Mason Mount di hujung babak pertama sudah cukup untuk menghukum anak-anak buah Klopp.
Selepas menamatkan kemarau 30 kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, Liverpool yang dibelenggu kecederaan mengharungi deretan keputusan mengecewakan dan kini berdepan tugas sukar untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas.

Dengan hanya 11 perlawanan berbaki, Liverpool kini berada di tangga ketujuh, ketinggalan empat mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat.
“Ia satu tamparan hebat.
“Semuanya belum berakhir tetapi kami tidak perlu bercakap tentang, anda kalah terlalu banyak perlawanan dan tidak boleh pergi ke Liga Juara-Juara,” kata Klopp kepada Sky Sports.
Klopp tidak berpuas hati dengan pertahanannya yang membolehkan Mount membolosi mereka.
Dia juga kecewa dengan ketumpulan jentera serangan yang diketuai penjaring terbanyak mereka, Mohamed Salah.
“Anda boleh katakan Chelsea bertahan dengan baik tetapi dengan penguasaan yang kami ada, sepatutnya lebih banyak peluang dicipta. Semuanya baik kecuali hantaran terakhir,” katanya.