JDT PILIHAN JULANG PIALA SULTAN HAJI AHMAD SHAH
PETALING JAYA: Majoriti pemerhati bola sepak memilih Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menumpaskan Kedah dalam perlawanan Sumbangsih malam ini, sekali gus mengekalkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.
Pertemuan di antara juara dan naib juara Liga Super 2020 itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri secara rasmi membuka tirai Liga Malaysia (Liga M) 2021.
JDT amat ampuh dengan membariskan ramai bintang bola sepak tempatan, selain pemain import berkualiti, sekali gus membuatkan kebanyakan pemerhati terlupa Kedah juga mempunyai barisan pemain yang berpengalaman dan mampu melakar kejutan.

Bagi legenda bola sepak negara dan Selangor, AZMAN ADNAN, JDT memiliki banyak kelebihan untuk bergelar pemenang, namun Kedah boleh mencipta kejutan jika bijak mengatur strategi.
“Dari segi kualiti pemain, persiapan pasukan dan kelebihan beraksi di laman sendiri, JDT punya kelebihan. Mereka juga memiliki pusat latihan terbaik di Asia dan ada stadium tertutup.
“Saya rasa Kedah sedar peluang menang agak tipis tapi kalau mereka berjaya mengatur strategi dengan betul dan manfaat peluang yang dimiliki tidak mustahil mereka mampu membawa pulang piala,” katanya.
Bekas jurulatih kebangsaan, WAN JAMAK HASSAN turut memilih JDT akan memenangi perlawanan malam ini,
“Kemasukan pemain baharu termasuk pemain import dan pemain tempatan seperti Mohamadou Sumareh menambah kekuatan JDT. Mereka pasukan yang kuat dan sukar disaingi pasukan lain, namun dalam bola sepak apa saja boleh berlaku,” ujarnya.

KEDAH RESAH TANPA DUA TONGGAK
KETIADAAN pertahanan tengah, Renan Alves dan Md. Ariff Farhan Md. Isa yang belum pulih daripada kecederaan meresahkan Kedah apabila berdepan pasukan terbaik Liga M, JDT.
Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui terpaksa mencari alternatif lain bagi memastikan mereka mampu memberi tentangan kepada Harimau Selatan.
“Apa yang penting adalah mencari kesebelasan dan mencatur strategi yang tepat,” kata Aidil, yang masih berteka-teki sama ada akan menurunkan Fernando Rodriguez atau tidak.
JANGAN PANDANG LAWAN SEBELAH MATA
SEDAR Harimau Selatan menjadi tumpuan dan pilihan ramai pihak untuk menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah malam ini, kapten JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak menyeru rakan-rakan sepasukan agar tidak terlalu yakin.
Katanya, tahun lalu JDT dipaksa bekerja keras sebelum menang 1-0 dan itu membuktikan Kedah adalah pasukan yang kuat dan tidak boleh dipandang mudah.
“Tahun lalu kami menang 1-0 dan itu kemenangan yang sukar. Kali ini, kami cuba memenangi perlawanan dengan keputusan selesa,” katanya.

SENJATA BAHARU KEDAH ANCAMAN JDT
KEHADIRAN bintang Lebanon, Rabih Ataya menambah sengat di bahagian sayap Kedah, manakala kepulangan Syazwan Zainon dan kehadiran Rozaimi Abd Rahman mampu memberi kekuatan kepada skuad Hijau Kuning.
Benteng Kedah juga lebih kukuh musim ini dengan mendapat pemain import dari Singapura, Anumanthan Kumar yang dijangka bertindak selaku pertahanan tengah untuk bergandingan dengan Fairuz Zakaria (Pulau Pinang), Rodney Celvin (Selangor), Ariff Farhan Md. Isa (Felda United FC), Syazwan Tajudin (Kuala Lumpur) serta Fandi Othman (Kuala Lumpur).
-
KEHADIRAN Rabih Ataya (tengah) menambah kekuatan Kedah.