SHAH ALAM: Kemenangan pasukan 4-0 Johor Darul Ta’zim (JDT) ke atas UiTM FC dalam aksi Liga Super malam ini direncatkan dengan kecederaan yang dialami pemain sayap kanannya, Safawi Rasid.
Dalam perlawanan yang dikuasai sebahagian besar skuad Harimau Selatan di Stadium UiTM, Safawi mendapat kecederaan ketika cuba melepasi pemain tengah tuan rumah, Mohamad Syafiq Al-Hafiz Dawawi pada minit kelapan.
Kecederaan tersebut membuatkan pemain terbaik negara ketika ini tidak dapat meneruskan permainannya dan penyerang remaja JDT, Arif Aiman Mohd. Hanapi.
Arif tidak menunggu lama untuk memberikan impak kepada pasukannya apabila berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit kesepuluh
Dia menjaringkan gol itu selepas berjaya melepasi pemain pertahanan kanan Lion Troopers, Muhammad Afif Asyraf Mohamad Zabawi dan seterusnya merebat menggunakan kaki kanannya.
Harimau Selatan tidak menunggu lama untuk menambah gol keduanya pada minit ke-15 melalui pemain sayap kirinya, Gonzalo Gabriel Cabrera selepas merebat daripada luar kotak penalti menewaskan penjaga gol UiTM, Dominik Picak.
Skuad kendalian Frank Bernhadt cuba bangkit pada separuh masa kedua dengan membuat beberapa pertukaran untuk membolosi benteng pertahanan yang diketuai Adam Nor Azlin.
Harimau Selatan terus menambah derita Lion Troopers dengan mendapat gol ketiga melalui penyerang tengah gantian, Bergson Da Silva pada minit ke-80 selepas berjaya dengan rembat kaki kirinya melepasi deretan benteng pemain UiTM.
Pada minit kedua masa tambahan perlawanan, pemain gantian, Mohamed Syamer Kutty Abba menutup kenduri gol JDT selepas berjaya merembat rendah bola menewaskan penjaga gol gantian, Muhammad Azfar Arif. -UTUSAN ONLINE