TIRANA, Albania: Gareth Southgate percaya, England masih ada banyak ruang untuk meningkat selepas Harry Kane menamatkan kemarau jaringan enam perlawanan ketika menumpaskan Albania 2-0 pagi tadi.
Skuad Three Lions bergelut untuk menembusi benteng Albania dalam aksi Kumpulan I, kelayakan Piala Dunia 2022 sehinggalah Kane menemui sasaran di hujung separuh masa pertama.
Ia gol antarabangsa pertama Kane sejak menentang Kosovo pada November 2019, malah dia juga mencipta gerakan untuk gol kedua yang disempurnakan Mason Mount.
Kane kembali membarisi kesebelasan utama selepas direhatkan ketika kemenangan 5-0 ke atas San Marino Khamis lalu, dan kini dia mengumpul 33 gol dalam 52 penampilan buat England.
“Saya tidak suka permainan kami pada 15 minit terakhir iaitu menyerang di waktu tidak perlu.
“Saya gembira dengan kemenangan ini tetapi kami masih ada banyak ruang untuk diperbaiki.
“Semua orang bercakap tentang potensi England, tetapi jika mahu mencapai kejayaan kami perlu berada di tahap lebih tinggi.
“Saya rasa kami boleh menjadi lebih baik. Pemain boleh menikmati kemenangan ini tetapi saya rasa kami boleh meningkatkan persembahan,” kata jurulatih England, Southgate. – AFP