LONDON: Liverpool menerima berita baik menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris dengan Chelsea, Jumaat ini (4.15 pagi waktu Malaysia) apabila Alisson dan Fabinho sedia untuk kembali diturunkan.
Reds yang menamatkan badi empat kekalahan berturut-turut ketika menumpaskan Sheffield United 2-0, Ahad lalu juga bakal mendapat semula khidmat Diogo Jota.
Fabinho terlepas empat perlawanan Liverpool akibat kecederaan otot, manakala penjaga gol utama, Alisson direhatkan dalam pertemuan dengan Sheffield kerana kematian bapa, minggu lalu.
Penyerang Portugal, Jota pula bersedia untuk membuat kepulangan pertama sejak Disember akibat kecederaan.
“Alisson dan Fabinho hampir pasti akan diturunkan. Diogo sudah bersama pasukan di hotel tetapi dia demam semalaman dan dihantar pulang ke rumah.
“Kecederaannya sudah pulih, sekarang hanya bergantung berapa cepat dia boleh sembuh daripada demam.
“Namanya berada dalam skuad dan dia sudahpun berlatih bersama pasukan, malang sekali dia demam. Apa pun saya fikir, dia boleh bermain,” kata pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.
Jota, 24, sedang berada pada prestasi terbaik ketika dihimpit kecederaan lutut, Disember lalu.
Kepulangannya mampu memperkuatkan Liverpool dalam misi mengejar kelompok empat terbaik liga.
Reds kini menduduki tangga keenam dengan 43 mata, dua mata di belakang pasukan tempat keempat, West Ham United, manakala Chelsea di kedudukan kelima menerusi 44 mata. – AGENSI