JDT luaskan kuasa ke hoki ais - Utusan Malaysia

JDT luaskan kuasa ke hoki ais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan hoki ais Johor Darul Ta’zim (JDT) yang baru ditubuhkan akan menguji kemampuan mereka apabila  mengambil bahagian dalam liga amatur hoki ais tempatan yang dijangka  berlangsung  pertengahan tahun ini.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, penyertaan pasukan JDT dalam liga itu adalah bukti kesungguhan mereka untuk meningkatkan profil sukan tersebut di Malaysia.

“Saya akui sukan itu tidak begitu popular dalam kalangan rakyat Malaysia, jadi kita akan cuba menaikkan sukan hoki ais sekali gus melebarkan jenama JDT.

“Buat masa ini, kita telah menandatangani 10 pemain bagi pasukan senior dan junior. Kesemua mereka berusia bawah 20 tahun kecuali seorang pemain berpengalaman yang berusia 28 tahun.

“Ada antara mereka yang sudah berpengalaman dengan menyertai kejohanan Sukan SEA. Buat masa ini mereka giat berlatih di Sunway, Kuala Lumpur sebagai persediaan kejohanan nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JDT di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.

PASUKAN hoki ais JDT dilancarkan secara rasmi di Ibu Pejabat Kelab Bolasepak JDT di Iskandar Puteri, Johor hari ini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Pada majlis itu, Tunku Ismail turut memperkenalkan barisan pemain hoki ais JDT serta melancarkan logo dan jersi baharu yang akan digunakan pada musim ini.

Yang turut hadir, Presiden Hoki Ais Negeri Johor, M. Haikal Saripan.

Tunku Mahkota Johor berkata, pihaknya juga akan membina gelanggang hoki ais di daerah ini yang menelan kos pembinaan kira-kira RM9 juta.

Tambahnya, kelab juga akan menaik taraf sebuah akademi untuk melahirkan lebih ramai lagi bakat di masa akan datang.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tenaga pakar dari luar negara untuk membantu pasukan,” katanya.

Selain itu, Kelab Hoki Ais JDT juga akan menghasilkan barangan untuk dijual kepada orang ramai bagi menjana pendapatan untuk pasukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN