JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim II (JDT II) bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Perdana musim ini selepas menjinakkan pasukan Kuching City FC 3-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, sebentar tadi.
Penyerang import Kuching City, Hudson Dias De Jesus terlebih dulu mengejutkan rumah rumah dengan meletakkan pelawat di depan selepas menyudahkan sepakan sudut kapten, Joseph Kalang Tie pada minit ke-21.
JDT II bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung hasil jaringan kapten Nicolas Fernandez.
Jaringan tersebut memberi tonik buat pasukan kendalian Rafael Sanchez untuk terus mengasak kubu lawan hingga memperoleh gol kedua pada minit ke-51.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan pelawat kembali mengatur serangan bagi memburu gol penyamaan.
Penyerang import, Bryan Anicezio hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-65 namun rembatannya dari jarak dekat sekadar singgah ke tiang gol lawan.
JDT II terus melebarkan kedudukan apabila Muhamad Feroz menjaringkan gol kedua peribadinya menanduk masuk sepakan sudut yang diambil Fernandez pada minit ke-77.