Hubungan pasukan, penyokong kembali terjalin - Utusan Malaysia

Hubungan pasukan, penyokong kembali terjalin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan pasukan Liga Malaysia (Liga M) akhirnya boleh tersenyum dengan kebenaran penyokong memasuki stadium bermula 1 April ini yang bukan saja akan memeriahkan saingan, malah memberi ruang untuk menambah pendapatan.

Selain meraih pendapatan menerusi kutipan tiket, kehadiran penonton ke stadium juga mampu menarik lebih banyak penaja.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, hubungan antara pasukan dan penyokong kembali terjalin dan secara tidak langsung memberi satu nafas baharu kepada industri bola sepak tanah air.

“Semua pihak pasti gembira dengan perkembangan ini dan kami mahu mengucapkan terima kasih kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara), KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kerja keras MFL kerana mendapat kebenaran semula penyokong masuk ke dalam stadium.

“Setelah sekian lama hubungan dengan penyokong hanya mampu terjalin secara digital, kini pasukan mampu ada hubungan secara fizikal dan dalam masa sama, pulangan pelaburan kepada penaja dapat dilihat secara langsung.

“Selain itu, peratusan untuk penyokong hadir biarpun buat masa ini masih rendah namun saya yakin akan meningkat secara perlahan-lahan mengikut keadaan semasa.

“Di pihak Selangor, kami bersedia mengikut segala SOP yang telah dibentangkan oleh MFL dan harap mampu menjalankannya pada hari perlawanan serta sudah pasti akan banyak perkara kami akan belajar berdasarkan kesesuaian SOP,” katanya.

JOHAN KAMAL HAMIDON

Sementara itu, CEO Penang FC, Dr Amar Pritpal Abdullah gembira dengan perkembangan itu memandangkan ramai penyokong setia skuad Harimau Kumbang sudah tidak sabar ke stadium selepas berjaya bermain di Liga Super pada musim ini.

Tambahnya, biarpun kehadiran penyokong hanya dihadkan sebanyak 10 peratus memandangkan Pulau Pinang masih di bawah status Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), beliau melihat itu sebagai satu permulaan yang baik yang seterusnya mampu menambah kantung kewangan kelab.

“Berdasarkan data daripada perlawanan sebelum ini di Stadium Bandaraya, kami boleh mendapatkan kira-kira 3,500 penonton untuk hadir ke stadium dan boleh mencecah lebih 7,000 untuk beberapa perlawanan yang membabitkan pasukan seperti Perak atau Kedah.

“Kapasiti di Stadium Bandaraya adalah 11,000 dan jika 10 peratus, 1,100 penonton dibenarkan masuk, jadi kami akan cuba mencari kaedah sebaik mungkin bagi mengagihkan kepada penyokong yang sudah pasti mahu ke stadium setelah sekian lama menunggu,” katanya.

Aksi JDT menentang Melaka United FC pada 2 April 2021 dan Kuala Lumpur City FC berdepan Sabah FC pada 3 April akan menjadi salah satu projek perintis bagi perlawanan kemasukan penonton.

Perlawanan simulasi ini bagi mendapatkan kelulusan kelab membenarkan penonton ke stadium melalui proses penilaian MFL di mana venue tersebut layak jika segala kriteria itu lengkap berdasarkan syarat ditetapkan.

Formula jumlah kemasukan penonton bergantung kepada lapisan peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP Pemulihan (PKPP) menyaksikan sebanyak 25 peratus atau 8,000 penonton daripada kapasiti tempat duduk penonton atau tertakluk kepada kebenaran penganjur manakala PKP Bersyarat (PKPB) pula adalah sebanyak 10 peratus atau maksima 2,000 penonton dibenarkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya