KOTA BHARU: Riak wajah kurang gembira tidak dapat disembunyikan oleh pengendali Kelantan United FC, Akira Higashiyama dalam sidang akhbar apabila pasukannya hanya mampu meraih satu mata selepas terikat tanpa jaringan dengan Johor Darul Ta’zim pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, semalam.
Higashiyama tanpa berselindung menegaskan dia tidak gembira dengan keputusan tersebut selepas barisan pemainnya gagal memanfaatkan setiap peluang terhidang pada perlawanan itu.
Malah, dia turut marah pada dirinya dan barisan pemain diatas kegagalan tersebut yang menyaksikan Kelantan United gagal mengatasi JDT II meskipun mempunyai kesempatan merebok jaringan lawan.
“Situasi ini tidak baik untuk kami, sepatutnya Kelantan United boleh menang selepas bermain cemerlang pada babak kedua,” katanya.
Pada perlawanan itu, Kelantan United gagal memanfaatkan peluang beraksi dilaman sendiri untuk melakar kemenangan apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan JDT II.
Higashiyama memberitahu, disebalik rasa kecewa itu dia tetap memuji persembahan barisan pemain yang semakin menunjukkan peningkatan.
Katanya, kejayaan memungut tujuh mata dari tiga perlawanan amat positif buat pasukan Kelantan United.
“Jadi untuk perlawanan seterusnya, kami akan cuba mencatatkan kemenangan dan memungut mata penuh,” ujarnya.