MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer mengakui, Dean Henderson sepatutnya boleh melakukan yang lebih baik untuk menghalang AC Milan daripada menyamakan kedudukan dalam saingan Liga Europa di Old Trafford hari ini
Jaringan Simon Kjaer, dua minit memasuki waktu kecederaan membantu Milan mengikat Manchester United 1-1 dalam aksi pertama, pusingan 16 akhir saingan divisyen kedua kelab Eropah itu.
Ia sesuatu yang amat mengecewakan Henderson gagal menyelamatkan tandukan Kjaer kerana diberi peluang membuktikan kemampuan selepas ketiadaan penjaga gol utama, David de Gea.

“Ia tandukan dari jarak enam ela, dia patut boleh menyelamatkannya.Saya pernah melihat dia menyelamatkan percubaan seperti itu.
“Kami amat kecewa, namun dalam bola sepak perkara begini boleh berlaku. Kami akan ke tempat lawan dan berjuang sehabis baik,” kata Solskjaer.
Solskjaer yakin pasukannya mampu melepasi halangan di San Siro, Itali dalam aksi timbal balik minggu depan kerana pernah membuktikan kemampuan dengan membenam Real Sociedad 4-0 di Turin pada pusingan terdahulu.
Jaringan Kjaer menenggelamkan detik bersejarah buat pemain berusia 19 tahun, Amad Diallo yang meledak gol pertamanya bersama United pada minit ke- 50.