PETALING JAYA: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berharap Grand Prix (GP) Malaysia musim ini yang dijadualkan berlangsung pada 31 Oktober dapat diserikan dengan kehadiran penonton.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya sedang berbincang tentang persediaan GP Malaysia memandangkan status penganjuran kali ini masih lagi samar.
“Untuk pengetahun, kami sedang menambah baik SOP (prosedur operasi standard) untuk kejohanan antarabangsa.
“Sudah tentu kami berharap agar saingan MotoGP tahun ni akan dapat berlangsung dengan penyertaan penonton.
“Kami masih lagi memantau keadaan semasa berkenaan dengan pandemik Covid-19. Kami akan memberitahu status terkini dari semasa ke semasa,” kata Shafriman ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Bola sepak muncul sukan yang pertama mendapat lampu hijau daripada kerajaan untuk membenarkan kemasukan penonton ke stadium mulai 1 April ini.
Sukan No. 1 itu sebelum ini memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua bulan untuk dinilai keperluan kemasukan penonton ke stadium bagi menyaksikan saingan Liga Malaysia.
Tahun lalu, peminat sukan permotoran tanah air terpaksa akur apabila saingan GP Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 1 November dibatalkan ekoran pandemik Covid-19.
Awal bulan ini, Petronas Yamaha Sepang Racing Team berhasrat mengubati kerinduan untuk berlumba di laman sendiri pada musim ini.