PETALING JAYA: Penyerang muda negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak ‘kempunan’ untuk membuat kemunculan sulung bersama kelab divisyen ketiga Jepun, Azul Claro Numazu selepas mengalami kecederaan semasa sesi latihan bersama pasukan.
Pemain Fagiano Okayama itu yang dipinjamkan ke Numazu musim ini berkata, kecederaan tersebut bagaimanapun tidak terlalu serius dan memerlukan sedikit masa untuk kembali pulih sepenuhnya.
“Saya merasa sedikit sedih kerana tidak dapat beraksi bersama pasukan ini pada aksi pertama pasukan hari ini kerana saya mengalami sedikit kecederaan di kaki yang memaksa saya untuk menjalani proses pemulihan selama beberapa minggu.
“Kecederaan ini berlaku ketika saya menjalani latihan bersama pasukan. Bagaimanapun, ia tidak berapa serius. Cuma perlukan sedikit masa untuk pulih semula.
“Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada saya dan pasukan ini. Insya-Allah, saya akan kembali kuat,” ujarnya kepada media melalui kenyataan yang di keluarkan Yakult Malaysia selaku pihak yang bertanggungjawab membawa Hadi Fayyadh ke Jepun.
Kecederaan tersebut sekali gus menafikan penonton Malaysia untuk melihat kelibatnya di atas padang yang boleh disaksikan menerusi saluran Astro 801 dan 802 hasil kerjasama syarikat televisyen berbayar itu dengan Liga Jepun.