PETALING JAYA: Adakah Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin menjaga kepentingan mana-mana pihak atau terdapat campur tangan pihak luar sehingga kelihatan ‘takut’ untuk menjatuhkan hukuman lebih setimpal?
Pelik tapi itulah yang berlaku dalam bola sepak negara, kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah terhadap kewajaran badan itu sekadar memberi amaran kepada pemain yang bertindak ganas terhadap pengadil.
Kata Kamarudin, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, menyentuh atau menolak pengadil kesalahan besar yang tidak boleh dimaafkan dan pemain yang melakukannya perlu digantung.
“Saya terkejut macam mana hanya amaran keras. Hukuman memang tidak setimpal. Kalau pergi Mahkamah Sukan dan tolak pengadil atau sentuh saja, ia kesalahan paling besar.
“Kalau pemain cakap kata-kata kesat kepada pengadil tanpa menyentuh pun, ia tetap kena hukuman terus.
“Simulasi pula diberi hukuman berat, pada saya ia keputusan tidak munasabah.
“Jelas pemain itu tolak pengadil dengan sengaja. Walaupun pengadil berada di posisi salah tapi tak bermakna dia boleh melakukan tindakan begitu,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin, Jawatankuasa Tatatertib FAM menggantung pemain Petaling Jaya City (PJ City), Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri dan pemain Selangor FC II, Hein Htet Aung daripada beraksi untuk dua serta satu perlawanan.
Khairil Anuar didakwa melakukan simulasi iaitu berpura-pura dikasari lawan untuk mendapatkan penalti, manakala Htet Aung eraikan jaringan dengan menggunakan simbol berbaur politik.
Bagaimanapun pemain yang bertindak ganas menolak pengadil iaitu Jack Hindle dari Kelantan FC dan Alex Dos Santos Goncalves (Melaka United) hanya diberi amaran.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd. Salleh mengakui kecewa dengan keputusan yang dianggap tidak sewajarnya berlaku.
“Sejujurnya saya agak kecewa dengan keputusan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang sepatutnya melindungi pegawai pertandingan tapi mungkin mereka merasakan itu yang terbaik baik untuk masa depan bola sepak negara,” katanya.