KUALA NERUS: Selangor belum menyerap sepenuhnya DNA Jerman yang diterapkan jurulatih baharu mereka, Karsten Neitzel apabila tumpas 3-1 kepada Terengganu dalam aksi Liga Super sebentar tadi.
Skuad Penyu yang dibimbing Mohd. Nafuzi Zain juga berjaya mengekang kebangkitan yang cuba dilakukan Red Giants di hujung permainan untuk meraih tiga mata di Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ini kemenangan kedua berturut-turut dicatat Terengganu selepas menewaskan UiTM FC 2-1 dalam aksi pembukaan.
Tuan rumah memberi amaran seawal minit pertama apabila tolakan Mohd. Faiz Nasir di depan pintu gol sekadar tersasar dan memasuki minit kelapan Red Giants diuji lagi menerusi sepakan percuma Makan Konate yang ditepis keluar Khairulazhan Khalid.
Aksi semakin rancak apabila giliran Selangor hadir ke kawasan berbahaya Terengganu FC yang menyaksikan tandukan Shahrel Fikri Fauzi diselamatkan Rahadiazli Rahalim pada minit ke-12 dan berselang dua minit, kelekaan tuan rumah nyaris dihukum pemain itu yang melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Skuad penyu akhirnya diceriakan dengan gol pembukaan pada minit ke-35 selepas penyerang importnya, Jordan Mintah menanduk hantaran lintang Konate dari sebelah kiri.
Terengganu memulakan babak kedua dengan agresif bermula dengan larian Faisal Abdul Halim (m-49) ke dalam kotak penalti sebelum rembatan padunya ditepis Khairulazhan.
Berpunca daripada gerakan Konate, pemain gantian, Rahmat Makasuf yang masuk tidak sampai seminit melepaskan sepakan leret untuk melebarkan jaringan pada minit ke-61.
Bagaimanapun, pintu gol Terengganu FC bolos pada minit ke-74 selepas bek tengah, Shahrul Nizam Roshasni tertampan masuk bola ke dalam pintu golnya sendiri ketika perlawanan semakin ke penghujung.
Selangor terperangkap dengan asakan berterusan apabila pemain Terengganu FC, Hakimi Abdullah menambah derita gol ketiga melalui serangan balas dalam masa kecederaan.