LONDON: Thomas Tuchel percaya, Chelsea yang berwajah baharu cukup kuat untuk mencabar kejuaraan Liga Juara-Juara.
Jaringan Hakim Ziyech dan Emerson membantu Blues menumpaskan 10 pemain Atletico Madrid 2-0 dalam aksi kedua, pusingan 16 akhir di Stamford Bridge pagi tadi.
Chelsea menyingkirkan pendahulu La Liga itu secara agregat 3-0 untuk melangkah ke suku akhir pertama sejak 2014, sekali gus membolehkan Tuchel mengekalkan rekod tanpa kalah kepada 13 perlawanan.
Tidak sabar menantikan undian suku akhir esok, Tuchel menegaskan, Chelsea tidak gentar untuk berdepan sesiapa pun dalam saingan kelab elit Eropah itu.
“Perkara paling penting, kami percaya kami berhak menang. Kamu ada perasaan itu tanpa perlu orang lain meyakinkan.
“Persembahan dan keputusan seperti ini membuatkan anda keyakinan tinggi untuk meraih sesuatu yang istinewa.
“Saya percaya, tiada siapa mahu menentang kami. Cabaran yang menanti selepas ini amat sukar kerana kami sudah memasuki suku akhir.
“Ia langkah yang besar tapi tak perlu gentar kami hadapi semua rintangan dan lakukan persiapan terbaik,” kata Tuchel.
Dalam aksi tersebut, Atletico terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada sembilan minit terakhir selepas Stefan Savic dibuang padang kerana menyiku Toni Rudiger.
Chelsea kini tidak dibolosi dalam 11 daripada 13 perlawanan sejak diambil alih oleh Tuchel yang menggantikan Frank Lampard.