PETALING JAYA : Pemain tengah dari Columbia, Romel Morales mempamerkan aksi luar biasa apabila meledakan dua gol dan satu bantuan jaringan untuk membantu Kuala Lumpur City (KL City) membenam Perak 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Ketika perlawanan babak pertama seakan berakhir dengan 0-0, serangan balas pantas dari tengah menerusi lorongan cantik Romel Morales disudahkan dengan baik oleh penyerang tuan rumah, Dominique da Sylva pada minit ke-41 untuk menutup babak pertama dengan kelebihan 1-0.
Bersambung babak kedua, skuad Bojan Hodak hanya memerlukan satu minit untuk menggandakan jaringan hasil tolakan mudah Morales menewaskan penjaga gol Perak Hafizul Hakim Nizam Jothy buat kali kedua.
Morales,23 sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila memanfaatkan umpanan, kapten pasukan Paulo Josue sebelum merembat bola ke sebelah kanan pintu gol pelawat pada minit ke-66.
Skuad Bos Gaurus yang mempertaruhkan gandingan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula bersama Careca terus buntu menembusi gawang tuan rumah.
Daripada tiga perlawanan setakat ini Perak sudah menjaringkan dua gol.
Kedua-dua gol itu disumbangkan oleh J. Partiban dan Muhammad Farhan Roslan ketika Perak mengatasi Sri Pahang FC, 2-0 di Kuantan
Keputusan itu memberi kemenangan kedua buat Bojan daripada empat perlawanan Liga Super musim ini sekali gus melonjak ke tangga ketiga liga.