BUDAPEST: Mohamed Salah mahu Liverpool meninggalkan ‘tekanan di luar padang’ selepas membantu Reds meredakan kesengsaraan Liga Perdana Inggeris dengan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara hari ini.
Jaringan Salah dan Sadio Mane membantu juara Eropah enam kali menumpaskan RB Leipzig 2-0 di Budapest, sekali gus mara dengan agregat 4-0.
Selepas menderita dalam kempen domestik ekoran enam kekalahan berturut-turut yang dialami di Anfield, Salah mengakui kejayaan di pentas Eropah memberi kelegaan buat Reds.
“Ia kemenangan besar buat kami.
“Kami kalah beberapa perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris, pasukan ini tidak berada pada tahap terbaik tapi kami mahu berjuang dalam Liga Juara-Juara.
“Beberapa tahun sebelum ini kami berjaya menang dan beraksi baik, namun musim ini kami tidak bernasib baik selepas dibayangi masalah kecederaan.
“Kami berusaha untuk memperbaiki keadaan tetapi ia sukar,” kata Salah kepada BT Sports.
Anak-anak buah Jurgen Klopp tampak lebih tenang beraksi di luar Anfield selepas larangan penerbangan akibat Covid-19 tidak membolehkan Leipzig memasuki England.
Sementara itu, kembalinya Fabinho di posisi tengah menjadi kunci kejayaan Reds selepas pemain Brazil itu diletakkan di benteng pertahanan sejak Oktober lalu bagi mengisi ketiadaan beberapa tonggak yang cedera.
“Ya, saya rindu bermain di posisi tengah.
“Secara keseluruhan kualiti kami sangat baik malam ini. Dua pemain di bahagian tengah berkomunikasi dengan bagus, kami memberi tekanan berterusan.
“Semua orang bermain baik dan gembira. Kami telah bekerja keras,” kata Fabinho, yang dinobat sebagai pemain terbaik perlawanan.