GIBRALTAR: Belanda beraksi di bawah keupayaan sebenar, namun masih mampu membelasah pasukan kerdil Gibraltar 7-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad Oranje merapatkan jurang di belakang pendahulu Kumpulan G, Turki dengan satu mata.
Belanda yang dikritik hebat selepas mempamer aksi hambar dalam dua aksi pertama, menunjukkan kesungguhan untuk menang sejak awal permainan.
Bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol tuan rumah, Dayle Coleing menyaksikan hanya satu jaringan berjaya dihasilkan Belanda di babak pertama menerusi Steven Berghuis pada minit ke-42.
Memasuki separuh masa kedua, Coleing tidak mampu lagi menyekat serangan bertali arus pasukan pelawat.
Luuk de Jong menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-55 dan tiga gol lagi menyusul menerusi Memphis Depay, Georginio Wijnaldum dan Donyell Malen.
Donny van de Beek meledak jaringan keenam dari jarak dekat sebelum Depay menambah gol keduanya berbaki dua minit permainan. – AGENSI