MUNICH: Hansi Flick berikrar Bayern Munich akan kekal dengan strategi berisiko tinggi selepas melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Robert Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti dan Eric Choupo-Moting meledak gol kedua untuk membawa juara bertahan itu menang 2-1 ke atas Lazio dalam aksi kedua, pusingan 16 akhir pagi tadi.
Gergasi bola sepak Jerman itu mara menerusi agregat 6-2 selepas menang 4-1 pada perlawanan pertama.
Kemenangan itu meletakkan Bayern pada landasan untuk memburu kejuaraan ketujuh, dan Flick berjanji pasukannya akan terus bermain secara menyerang sepanjang pertandingan.
“Serangan kami sangat kuat dan kami menggunakan pendekatan berisiko tinggi (menyerang secara terbuka).
“Adalah penting untuk pasukan terus beraksi seperti ini dan bertahan dari depan bagi memberi tekanan kepada lawan.
“Sudah tentu ada waktunya lawan akan mendapat peluang (menjaringkan gol) tapi saya mahu pasukan bermain dengan cara begitu,” kata jurulatih Bayern itu.
Lewandowski kini meledak 73 gol dalam kempen Liga Juara-Juara dan akan terus menjadi watak penting untuk mengetuai serangan Bayern sepanjang kempen musim ini. – AGENSI
LAPAN PASUKAN LAYAK KE SUKU AKHIR