MADRID: Barcelona sudah di ambang penyingkiran sebelum jaringan lewat minit dan masa tambahan membantu mereka menewaskan Sevilla secara agregat 3-2 untuk mara ke final Copa del Rey (Piala Raja Sepanyol) hari ini.
Kemenangan tersebut hadir dua hari selepas polis menggeledah kelab dan menangkap bekas presidennya, Josep Maria Bartomeu.
Selepas tumpas 0-2 dalam perlawanan pertama, Barca bagaikan sebelah kaki tersingkir apabila ketinggalan 0-1 (agregat 1-2) ketika waktu permainan sebenar hampir tamat.
Begitupun jaringan Gerard Pique, lima minit memasuki waktu kecederaan berjaya mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum bintang Denmark, Martin Braithwaite mengesahkan kemenangan dengan menanduk masuk hantaran lintang Jordi Alba.
Terdahulu, Ousmane Dembele mencetuskan kebangkitan Barcelona dengan meledak gol pertama mereka seawal minit ke-12.
“Kami berhak untuk layak kerana lebih agresif, sentiasa mencipta peluang dan menunjukkan peningkatan ketara.
“Ini keputusan penting untuk kelab, pemain dan saya sendiri. Ia langkah penting untuk kejuaraan,” kata pengendali Barca Ronald Koeman. – AGENSI