PETALING JAYA: Balakong BC menampilkan aksi cemerlang dalam Kejohanan Badminton Purple League Junior dalam acara Bawah 18 dan 15 tahun, hari ini.
Pasukan itu mudah melangkah ke pusingan kedua selepas menampilkan aksi dominan dengan menyapu bersih tiga kemenangan menerusi acara perseorangan.
Pemain perseorangan Bawah-18 tahun Balakong BC, Lee Qi Hong mendapat kemenangan percuma selepas pemain Farlim BC menarik diri.
Rakan sepasukanya, Ting Wen Xuan membuktikan dia berada dalam kelas tersendiri selepas mencatat kemenangan ke atas pemain Pulau Pinang BC, Chia Chun Yew.
Pemain perseorangan Bawah-15 tahun Balakong BC, Liew Wen Jie menumpaskan Koo Wye Jien dari Amanjaya BC untuk rekod tiga kemenangan, namun Wee Yee Tern gagal memberikan keputusan sempurna buat pasukan itu selepas tewas kepada wakil Segamat Spiritual, Khoo Jun Sheng.
“Kami akan membariskan 10 pemain terbaik dalam acara beregu wanita dan beregu campuran Bawah 15 tahun.
“Kami menetapkan sasaran untuk memenangi setiap acara dan yakin dengan kemampuan bsendiri dalam penampilan sulung kejohanan ini,” kata jurulatih Balakong BC, Mah Jun Loong.
Kejohanan kali ini menampilkan 300 pemain daripada 40 kelab dari seluruh negara.
Juara keseluruhan, naib juara dan semi finalis akan menerima hadiah berupa wang tunai selain jemputan mengikuti kem latihan intensif yang akan dikendalikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).