Baddrol tutup mulut pengkritik - Utusan Malaysia

Baddrol tutup mulut pengkritik

BADDROL BAKHTIAR meninggalkan Kedah untuk menyertai Sabah FC.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kritikan penyokong terhadap prestasinya kebelakangan ini tidak menghalang kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar untuk membuktikan kemampuan apabila menjadi watak penting kepada kemenangan 3-1 Kedah ke atas PJ City FC di Stadium Darul Aman di sini malam ini.

Tidak hanya mencetak gol untuk skuad ‘Hijau Kuning’, pemain berusia 33 tahun itu malah turut membantu penyerang utama pasukan tersebut, Kpah Sherman menjaringkan gol kedua sebelum pemain gantian, Muhammad Fayadh Zulkifli Amin menambah jaringan dalam tempoh enam minit terakhir perlawanan.

Berlangsung dalam cuaca dan keadaan padang yang cukup baik, KDA FC jelas menguasai perlawanan dengan melakukan percubaan berbahaya sejak dari minit terawal permainan menerusi gandingan tiga serangkai iaitu Sherman, Tchetche Kipre dan Rabih Ataya.

Begitu pun, tindakan pemain pertahanan mereka, Mohamad Fandi Othman menjatuhkan pemain tengah pasukan pelawat, Sunil Caven Chandran pada minit ke-39 mengundang padah apabila PJ City FC dianugerahkan sepakan penalti oleh pengadil, Mohd. Fusser Mad Salleh.

Kesempatan itu tidak dipersiakan penyerang gantian pasukan pelawat, M. Kogileswaran Raj untuk menjaringkan gol pertama PJ City FC apabila sepakannya gagal dijangka penjaga gol KDA FC, Mohd. Shahril Saari.

PEMAIN Kedah, Rizal Ghazali cuba melepas pemain PJ City FC pada perlawanan Liga Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Memasuki babak kedua perlawanan, jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak melakukan beberapa perubahan taktikal termasuk dengan menggantikan penyerang, Md. Rozaimi Abd. Rahman dengan pemain tengah, Fayadh.

Perubahan itu jelas mendatangkan manfaat kepada tuan rumah apabila serangan dilaksanakan tampak lebih tersusun.

Hasilnya hanya kira-kira dua minit selepas perlawanan bersambung, Baddrol menggegar gawang lawan untuk menyamakan kedudukan menerusi tandukan kencang hasil sepakan sudut dilakukan Ataya.

Minit ke-52, Baddrol sekali lagi mempamerkan kemahiran apabila sepakan percuma diambilnya, tepat sampai kepada Sherman yang tidak menunggu lama untuk melakukan rembatan kencang bagi menewaskan penjaga gol lawan, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi.

Kira-kira enam minit sebelum tamat perlawanan, Fayadh menoktahkan kemenangan Kedah apabila menjaringkan gol ketiga tuan rumah menerusi rembatan dari dalam kotak penalti selepas menerima hantaran lintang daripada pemain veteran, Azammuddin Mohd. Akil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya