LONDON: West Ham memberi kekalahan kelima buat Tottenham daripada enam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris sebentar tadi, sekali gus melonjak ke tangga keempat.
Michail Antonio meletakkan The Hammers di depan pada awal separuh masa pertama dan Jesse Lingard menggandakan jaringan untuk pasukan tuan rumah selepas rehat.
Lucas Moura merapatkan jurang dengan gol liga pertamanya sejak September, namun gagal membantu Spurs sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
West Ham kini mengumpul 45 mata selepas 25 perlawanan, dua mata di depan Chelsea yang jatuh ke tangga kelima.
Spurs pula menghuni tangga kesembilan dengan 36 mata, hasil 10 kemenangan, enam seri dan lapan kekalahan.
West Ham mempamer peningkatan mendadak dengan melakar kemenangan ketujuh daripada sembilan aksi terakhir. – AGENSI