PETALING JAYA: Setelah Azizulhasni Awang, kini giliran Shah Firdaus Sahrom membuktikan dia juga memiliki potensi besar untuk membawa pulang kejayaan di Sukan Olimpik 2021 Tokyo, Julai ini.
Potensi itu hadir selepas pelumba berusia 26 tahun dari Johor tersebut merangkul pingat emas dalam Kejohanan Keirin Negeri Victoria di Melbourne, Australia hari ini.
Tambah manis, rakan seperjuangan Shah Firdaus, Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman meraih perak manakala Ned Pollard dari Australia gangsa.
“Apabila ditanya apakah faktor kejayaan beliau hari ini, katanya kelibat beberapa gadis-gadis melayu yang kelihatan datang menyokong dan bersorak “Go Abam Shah hitam manis, hensem lagi katang, Go Go Abam Shah!” telah membuatkan beliau mendapat sumber kekuatan tambahan,” tulis Azizulhasni sebagai usikan kepada Shah Firdaus di Facebook hari ini.
Tambah pelumba Terengganu itu, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir memberikan sokongan kepada mereka dalam kejohanan tersebut.
“Malaysia boleh!” tulisnya lagi.
Minggu lalu, Azizulhasni dan Shah Firdaus masing-masing meneruskan rentak cemerlang apabila masing-masing meraih kedudukan 1-2 dalam acara pecut Kejohanan Trek Victoria.