PORTO: Perlawanan pertama Cristiano Ronaldo bersama Juventus di negara kelahirannya Portugal berakhir dengan kekalahan 1-2 kepada FC Porto dalam aksi Liga Juara-Juara hari ini.
Pengendali Juventus, Andrea Pirlo berkata, pasukannya ‘kurang bersemangat’ dalam saingan pertama, pusingan 16 akhir itu dan mengharapkan kebangkitan pada aksi timbal balik bulan depan.
Penyerang Iran, Mehdi Taremi menghukum Juventus seawal minit pertama di Estadio do Dragao dengan memanfaatkan kesilapan Rodrigo Bentancur.

Bintang Mali, Moussa Marega menggandakan kedudukan 2-0 hanya seminit selepas babak kedua bersambung.
Federico Chiesa merapatkan jaringan lapan minit sebelum tamat permainan untuk memberi sedikit harapan kepada Juventus dalam aksi kedua balik di Turin pada 9 Mac.
“Pendekatan kami salah sejak minit pertama lagi.
“Apabila anda membenarkan gol seperti itu ia memang mencetus kebimbangan kerana anda berada dalam arah yang tak pasti.
“Porto bijak menutup ruang dan selepas jaringan itu ia bertambah sukar,” kata Pirlo.

Penjaring terbanyak Liga Juara-Juara, Ronaldo, 36, gagal memecah kebuntuan jaringan berdepan lawan yang diketuai rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Portugal, Pepe.
“Kami mengkaji permainan Juventus dengan baik.
“Kami harus memberi tekanan kepada Juventus dan bukan menguasai permainan. Dalam perlawanan seperti ini tidak mudah untuk menjaringkan gol tapi kami beraksi dengan baik,” kata Pepe. – AFP