LIVERPOOL: Liverpool mempamer aksi terburuk mereka musim ini selepas kalah 0-1 kepada Brighton di Anfield sebentar tadi.
Kekalahan terbaharu menyaksikan misi Reds untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris semakin sukar selepas pendahulu liga, Manchester City pula mengukuhkan kedudukan dengan menang 2-0 di Burnley.
Biarpun mengawal permainan, namun anak-anak buah Jurgen Klopp kekeringan idea dan jarang mencipta peluang bahaya.
Mereka sebaliknya dikejutkan pada 10 minit selepas babak kedua bersambung apabila Steven Alzate meledak gol Brighton.
Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Xherdan Shaqiri yang membentuk trio serangan Reds gagal mengancam kubu lawan.
Ini kali pertama Liverpool kalah dua perlawanan berturut-turut di tempat sendiri sejak September 2012.
Reds sebelum ini dikejutkan oleh Burnley 1-0 pada 22 Januari lalu, namun selepas itu berjaya bangkit menumpaskan Tottenham dan West Ham 3-1 di tempat lawan.
Kekalahan itu menyebabkan Liverpool jatuh ke tangga keempat selepas Leicester City yang menang 2-0 di Fulham merampas kedudukan ketiga. – AGENSI