BERLIN: Liverpool tidak dibenarkan memasuki Jerman bagi perlawanan Liga Juara-Juara menentang RB Leipzig pada 16 Februari ekoran peraturan ketat Covid-19, menurut Menteri Dalam Negeri Jerman hari ini.
“Polis persekutuan Jerman memaklumkan kepada RB Leipzig bahawa kes terkini tidak memberi pengecualian kepada mereka untuk melepasi sekatan perjalanan” kata menteri dalam negeri itu dalam satu kenyataan.
Leipzig kini perlu mencari venue alternatif untuk perlawanan kelompok 16 terbaik atau berdepan risiko diberikan kekalahan 0-3 di bawah peraturan badan bola sepak Eropah, UEFA.
Ketua Pegawai Eksekutif Leipzig, Oliver Mintzlaff berkata, mereka kini sedang mencari lokasi alternatif untuk perlawanan tersebut.
“Kami sedang berbincang bagi mencari jalan penyelesaian. Kami akan bermain di tempat lain,” kata Mintzlaff.
Leipzig yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu, dijadual bertandang ke Anfield untuk aksi timbal balik yang akan diadakan secara tertutup pada 10 Mac.
Keputusan kerajaan Jerman turut menimbulkan persoalan tentang status perlawanan kelab elit Eropah itu di antara Manchester City dan Borussia Moenchengladbach pada 24 Februari ini. – AFP