Peraturan Liga M bebankan petugas media - Utusan Malaysia

Peraturan Liga M bebankan petugas media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) menyeru Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) agar mengkaji semula beberapa peraturan kepada media untuk membuat liputan Liga Super dan Liga Perdana kerana dianggap kurang tepat serta agak membebankan.

Presiden SAM, Datuk Jasni Shafie berkata, peraturan mewajibkan media terutama jurugambar atau jurukamera untuk membuat ujian RTK Antigen dalam setiap perlawanan akan menambah kos operasi petugas media dalam masa pandemik ini.

“Setiap kali ujian RTK Antigen anggaran kos RM100-RM150 perlu dibelanjakan oleh seorang petugas media, bayangkan kos perbelanjaan yang harus ditanggung oleh pihak media pada setiap perlawanan dan jika sepanjang musim.

“Bukan sekadar kos dari segi wang ringgit malah kekangan masa untuk melaksanakan proses ini juga harus dititik beratkan.

“SAM sedar MFL (Liga Bolasepak Malaysia) selaku pengendali liga bola sepak tempatan sekadar melaksanakan peraturan berdasarkan garis panduan oleh KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara), tetapi pihak berwajib itu harus juga mengambil kira impak kewangan petugas media.

“Larangan wartawan untuk menemubual jurulatih atau pemain ketika latihan juga kelihatan suatu tindakan yang ‘mengarut’ kerana ia sebenarnya boleh diadakan dengan SOP yang sedia ada.

“Kalau Menteri boleh ditemubual dengan pematuhan SOP tertentu, kenapa ahli sukan tidak dibenarkan?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JASNI SHAFIE

SAM akan meminta bantuan daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican untuk memanjangkan masalah ini kepada MKN dan KKM agar satu solusi lebih munasabah dapat dicari.

“Media sentiasa bersama untuk mengaktifkan semula aktiviti sukan melalui Gelembung Sukan yang dilaksanakan, tetapi kebebasan dan kemudahan kepada media juga harus dititikberatkan,” katanya.

Saingan Liga Malaysia dijadual bermula 5 Mac ini dengan aksi pembuka tirai membabitkan pertemuan antara juara dan naib juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN