MILAN: Misi AC Milan untuk merangkul kejuaraan Serie A pertama dalam tempoh sedekad terganggu dengan kekalahan mengejut 0-2 kepada Spezia, sekali gus membuka laluan kepada Inter Milan untuk merampas kedudukan pendahulu.
Juara Eropah tujuh kali itu akan dipintas Inter jika musuh berjiran mereka menang ke atas Lazio awal pagi nanti.
Juara bertahan, Juventus gagal memanfaatkan kekalahan Milan selepas mereka juga tumpas 0-1 kepada Napoli.
Jaringan Giulio Maggiore dan Simone Bastoni menghadiahkan kemenangan bersejarah buat Spezia dan menjadikan perebutan gelaran Serie A kini semakin terbuka.
“Tidak pernah saya bermimpi untuk menjaringkan gol seperti ini. Jika kami terus bermain seperti ini, kami mampu mencapai sesuatu yang lebih hebat,” kata Bastoni.
Spezia yang beraksi dalam divisyen empat pada 2008 selepas muflis mempamer aksi cemerlang pada penampilan pertama di Serie A, sekali gus melonjak ke tangga ke-14, sembilan mata dari zon penyingkiran.
“Ini pengajaran berguna. Jika tidak beraksi pada tahap terbaik kami akan dimalukan seperti ini,” kata jurulatih Milan, Stefano Pioli.

Sementara itu, jaringan ke-100 Lorenzo Insigne bersama Napoli memalukan juara bertahan, Juventus 1-0.
Gol penyerang Itali pada minit ke-31 itu menerusi sepakan penalti memberi tiga mata penting buat jurulatih Napoli, Gennaro Gattuso, yang dilaporkan berada pada kedudukan bahaya selepas aksi kurang konsisten sebelum ini.