BERGAMO, Itali: Ferland Mendy terharu kerana bukan saja meledak gol pertama di pentas Eropah, malah jaringannya di hujung permainan membantu Real Madrid menang tipis 1-0 ke atas Atalanta dalam aksi Liga Juara-Juara hari ini.
Turun dengan reputasi juara 13 kali, Los Blancos bagaimanapun terpaksa menunggu hingga minit ke-86 untuk mendapatkan gol kemenangan biarpun Atalanta beraksi dengan 10 pemain sepanjang 70 minit.
Gol tunggal Mendy membolehkan Real membawa pulang bekalan terbaik sebelum menerima kunjungan Atalanta dalam aksi kedua, pusingan 16 akhir di Madrid pada 16 Mac.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak meraikannya kerana ini jaringan pertama saya di Eropah,” kata Mendy selepas tamat perlawanan di Stadio Di Bergamo.
Bek kiri Perancis itu turut menjadi punca Atalanta hilang seorang pemain selepas tindakan Remo Freuler mengasarinya menyebabkan pemain itu dilayangkan kad merah.
Atalanta bermula garang tetapi rentak mereka terbantut selepas Freuler dibuang padang.
Pemain tengah Sepanyol Isco mengetuai kesebelasan utama Real, bergandingan dengan Marco Asensio dan Vinicius.
Juara La Liga itu beraksi tanpa bintang penyerang Karim Benzema yang berada dalam senarai kecederaan bersama Sergio Ramos, Eden Hazard dan Dani Carvajal.
Real kini berpeluang melangkah ke suku akhir selepas dua musim berturut-turut gagal menyertai kelompok lapan terakhir.
Atalanta perlu berusaha keras pada aksi timbal balik untuk memastikan tempat di suku akhir buat tahun kedua berturut-turut. – AGENSI