LONDON: Harapan Liverpool untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris kembali menyala selepas dua gol Mohamed Salah membantu Reds menang 3-1 ke atas West Ham sebentar tadi.
Liverpool menguasai sebahagian besar perlawanan, namun buntu untuk menembusi gawang lawan pada babak pertama.
Kemasukan Curtis Jones sebagai pemain gantian memberi impak serta merta kepada Reds apabila dia melakukan hantaran ke kanan kawasan lawan untuk disudahkan Salah pada minit ke-57.
Gol kedua Liverpool hadir pada minit ke-68 hasil serangan balas hebat bermula dengan Trent Alexander-Arnold melakukan hantaran jauh kepada Xherdan Shaqiri yang kemudian menendang bola untuk ditolak masuk oleh Salah.
Georginho Wijnaldum melengkapkan kemenangan Reds selepas meledak gol ketiga pada minit ke-84.

Ketika saingan berbaki tiga minit untuk ditamatkan, Craig Dawson menjaringkan gol saguhati West Ham, namun sebarang usaha tuan rumah untuk mengejar Liverpool sudah terlambat.
Kemenangan itu membolehkan Liverpool naik ke tangga ketiga liga dengan 40 mata, hanya empat mata di belakang pendahulu, Manchester City, manakala West Ham kekal di tangga kelima dengan 35 mata.
Ini adalah kemenangan kedua berturut-turut dilakar Liverpool selepas menumpaskan Tottenham 3-1 kelmarin.