LONDON: Liverpool patut mempertimbangkan untuk bermain secara bertahan apabila berdepan Manchester City esok (12.30 pagi Isnin waktu Malaysia) atau berdepan risiko terkeluar dari kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris, kata bekas pemain England, Paul Merson.
Selepas dua kekalahan berturut-turut di laman sendiri kepada Brighton dan Burnley, Anfield tidak lagi menjadi gelanggang yang menakutkan lawan.
Selepas melihat prestasi Reds sejak akhir-akhir ini, Merson mencadangkan Jurgen Klopp agar meletakkan bas (bermain secara bertahan) dan sesekali melancarkan serangan balas.
“Liverpool mungkin perlu ‘parking bas’ menentang Manchester City kerana mereka kini dalam bahaya terkeluar dari kelompok empat teratas.
“Anfield kini tidak lagi menghadirkan rasa gerun. Ia sudah hilang selepas Liverpool kalah kepada Brighton dan Burnley.
“Saya tidak pasti tentang Liverpool sekarang. Mereka dalam masalah. Mereka mula menjadi sebuah pasukan yang wajib memenangi setiap perlawanan (atau bakal berdepan kesusahan).
“Sejak beberapa tahun lalu,Liverpool berjaya menang biarpun kadangkala tanpa bermain dengan baik tetapi jika mereka bermain dengan teruk sekarang mereka akan kalah.
“Sekiranya mengalahkan City hujung minggu ini, mereka kembali dalam perlumbaan gelaran,” kata Merson dalam kolumnya di Daily Star.
Selepas mengharungi 22 perlawanan, Reds kini menghuni tangga keempat dengan 40 mata, tujuh mata ditinggalkan City yang masih memegang kelebihan satu perlawanan.
Jika kalah sekali lagi, West Ham yang kini menduduki tangga kelima dengan 38 mata mampu memintas sekiranya menewaskan Fulham esok (pukul 1.30 pagi Isnin waktu Malaysia). – AGENSI