LONDON: Dua kesilapan Alisson menyebabkan Liverpool hampir boleh melupakan hajat mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris selepas dibenam 4-1 oleh Manchester City sebentar tadi.
Ini kekalahan ketiga berturut-turut Reds di laman sendiri, sekali gus meletakkan mereka ketinggalan 10 mata di belakang City yang kukuh mengungguli liga dengan 50 mata dan kelebihan satu perlawanan.
Liverpool masih berada pada landasan baik biarpun ketinggalan 0-1 dan lawan mereka memperoleh dua peluang keemasan – sepakan penalti yang tidak masuk dan jaringan yang dibatalkan akibat ofsaid.
Selepas Ilkay Gundogan meletakkan City di depan pada minit ke-49, Liverpool masih bersemangat untuk mengejar dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Mohamed Salah menyempurnalan penalti minit ke-63 untuk kedudukan 1-1.
Begitupun, moral anak-anak buah Jurgen Klopp mula merudum selepas pasukan pelawat berjaya memperoleh gol kedua menerusi Gundogan yang berpunca dari kesilapan Alisson.
Penjaga gol Brazil itu bermain-main dengan bola di kawasan sendiri sebelum membuat hantaran kepada pemain lawan selepas diberi tekanan.
Tidak habis di situ, Alisson mengulangi kesilapan sama ketika City memperoleh gol ketiga apabila menghantar bola kepada pemain lawan tidak jauh dari gawang.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh City untuk menambah jaringan menerusiR tandukan Raheem Sterling betul-betul di atas garisan pintu gol.
Saki baki Liverpool untuk cuba bangkit terpadam pada minit ke-83 selepas Phil Foden melengkapkan gol keempat City. – AGENSI