LONDON: Jurgen Klopp mengakui, peluang Liverpool untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sudah musnah selepas kekalahan 3-1 kepada Leicester City malam tadi.
Reds mendahului 1-0 ketika saingan berbaki 12 minit, namun tiga gol dalam tempoh tujuh minit yang diperoleh tuan rumah memberikan Liverpool kekalahan kelima daripada tujuh aksi terakhir liga.

Liverpool kini menduduki tangga keempat dengan 13 mata ditinggalkan Manchester City yang menang 3-0 ke atas Tottenham pagi tadi.
City turut memegang kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
“Saya tidak fikir kami mampu merapatkan jurang mata. Kami tidak perlu bimbang lagi tentang kejuaraan, kami tidak bodoh,” kata Klopp.
Reds mengalami kekalahan liga ketiga berturut-turut dan mata yang dipungut pasukannya ketika ini kurang 24 daripada yang dikutip selepas 24 perlawanan musim lalu.
Ketiadaan pertahanan tengah, Virgil van Dijk akibat kecederaan panjang, selain Joe Gomez nyata memberi kesan kepada Reds.

Seorang lagi bek tengah, Joel Matip turut mengalami kecederaan, manakala Fabinho yang beralih ke posisi itu selepas ketiadaan pemain utama disisihkan juga akibat cedera.
Liverpool terpaksa meminjam pemain Turki, Ozan Kabak daripada Schalke untuk membantu benteng, namun penampilan sulungnya malam tadi gagal membamtu Reds.